BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selamat Datang

Thursday, August 5, 2010

AHLAN WASAHLAN RAMADHAN KARIM

RAMADHAN BULAN DIRAHMATI LAGI DIBERKATI

Alhamdulillah segala puji&syukur khadrat ALLAH S.W.T kerana dengan izinnya dapat saya menulis sedikit peringatan untuk tatapan kita bersama bagi menghadapi bulan yang paling dinantikan oleh tiap jiwa yg beriman yakni RAMADHAN.
Saudaraku yang dikasihi sekalian sedar atau tidak beberapa hari sahaja lagi bulan Ramadhan akan berkunjung tiba bagi tahun 1431 Hijriah yang mana menjadi satu titik permulaan bagi umat islam seluruhnya menjalankan kewajipan rukun islam yang ketiga.Ini adalah suatu perintah yang Allah arahkan kepada kita yang beriman bagi melaksanakannya berdasarkan dari satu firman Allah yang bermaksud;""Hai orang - orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa "(Al-Baqarah;183)
Persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk menjalankan ibadah yang dituntut oleh Allah Azzawajalla kepada kita?Rata-ratanya mungkin dikalangan kita akan menjawab"kami sudah sedia"apa maksud sedia yang dimaksudkan?saya yakin yang mana ramai dikalangan kita sudah bersedia untuk berlapar&berdahaga disiang hari pada bulan Ramadhan,kerana sebelum datangnya bulan yang mulia lagi dirahmati ini,secara amnya masyarakat kita di Malaysia akan mengadakan kenduri kendara bagi menyambut Ramadhan yang akan tiba.Tatkala disebut kenduri pastilah terbayang dibenak fikiran kita dengan makanan yang beraneka jenis,umpama membuat persediaan untuk berlapar dibulan Ramadahan.
Saudaraku yang dikasihi persiapan yang sepatutnya kita siapkan adalah dari sudut rohani sebenarnya,yakni keimanan yang tinggi dengan melatih diri untuk beramal soleh mula dari bulan Rejab,Sya'ban seterusnya melangakah menuju Ramadhan yang dirahmati.Itulah persiapan yang hakiki bagi insan yang benar-benar beriman kepada Allah S.W.T.Marilah sama-sama kita menyelam diantara hikmah Ramadhan yang disediakan khusus buat kita umat Nabi Muhammad S.A.W,agar Ramadhan kita kali ini lebih bermakna dari Ramadhan yang lepas.Anggaplah ini adalah Ramadhan yang terakhir bagi kita,supaya lebih banyak kita manfaatkannya dari sebelum ini yang mana kita selalu terlalai dengan keghairahan Aidil Fitri.Mudah-mudahan kita dapat manfaatkannya bersama Insya Allah!!!!!

KELEBIHAN BULAN RAMADAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah S.W.T dan RasulNya,ia juga menjadi penghulu segala bulan.Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah S.W.T telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah S.W.T mafhumnya:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”(Surah Al-Baqarah: 185)

Juga dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatul-qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama’ Lailatul-qadr itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam pelikurannya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.Lain-lain keistimewaan bulan Ramadhan itu sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

“Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”(Hadis riwayat Muslim)


Sabda Baginda lagi yang bermaksud:

“Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”(Sahih Ibnu Khuzaimah)
Sementara kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”(Surah Az-Zumar: 10)

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya:

“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Nabi Muhammad S.A.W telah memberi peringatan dalam hal ini sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga.”(Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)


BERSAMA MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya.Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:


1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah S.W.T.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riya'.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah S.W.T telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”(Surah Al-Ma’idah: 42)

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah S.W.T daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka dia terlindung daripada kerajaan langit.

6) Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah S.W.T, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah S.W.T. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah S.W.T.


Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana firman Allah S.W.T mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”(Surah Al-Baqarah: 183)


ERTI PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA


Di antara huraian atau maksud “Supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halalpun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah S.W.T.Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.Mudah-mudahan kelebihan puasa kita sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W:

“Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah ‘azzawajalla berkata: “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada maksud hadis di atas diharapkan akan mendorong seseorang itu untuk menghidupkan Ramadhan supaya tercapai pula keampunan daripada Allah S.W.T,sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”(Hadis riwayat Bukhari)

Mudah-mudahan kita akan tergolong dari kalangan hamba Allah S.W.T yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan dari Allah yang mana sekaligus dapatlah kita meraih cinta&keampunan dariNYA yang selama ini kita dambakan!!!