BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selamat Datang

Friday, June 18, 2010

SEJARAH DISEBALIK BULAN REJAB&TIDAK ADA IBADAH YANG KHUSUS PADANYA!!

Saudaraku yang dikasihi,tahukah saudara berkenaan pendapat mengenai amalan solat ,sunat puasa, umrah bersandar kepada hadis lemah REJAB bermaksud mengagungkan atau memuliakannya.Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kelendar hijriah. Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan. Kelendar Islam yang mempunyai 12 bulan ada empat bulan dimuliakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa." - (Surah at-Taubah, ayat 36)

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran mengenai ayat "maka janganlah kamu menganiaya diri kamu" dalam ayat itu bermaksud janganlah seseorang menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal. Jika firman Allah hanya menunjukkan ada empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW memperincikan nama bulan itu: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Rejab termasuk dalam bulan dimuliakan Allah. Lantaran itu tersebar dalam masyarakat kita amalan memiliki fadhilat yang besar dikhaskan sempena Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sahih menunjukkan amal ibadah tertentu bersempena Rejab.

Hal ini diperakui oleh salah seorang tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis sahih mengenai keutamaan Rejab (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan. Adalah masyhur di kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.Selain daripada itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Imam Ibnul Qayyim berkata: "Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan Ibnu Majah." Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.

Ada juga berpandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu, menurut 'Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab. Daripada Mujahid dia berkata: "Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata 'Abdullah bin 'Umar sedang duduk di samping bilik Saidatina 'Aisyah. Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah SAW melakukan umrah? Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah SAW melakukan umrah. Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya. Dia (Mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu 'Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada 'Aisyah: Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu 'Abdurrahman? 'Aisyah berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan umrah pada Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu 'Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni 'Aisyah) ikut bersama Baginda dan Baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa bersejarah itu. Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya. Namun, wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj seperti dijelaskan Ibnu Hajar al-'Asqalani: Ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi. Pendapat ini ganjil kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat selepas Baginda SAW menjadi nabi. Selanjutnya dalam kitab itu Ibnu Hajar menyebutkan pendapat ulama seperti Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan: "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ulama hadis ialah satu pembohongan.Ibnu Rajab al-Hanbali pula berkata: "Diriwayatkan bahawa pada Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW lahir pada awal malam Rejab, diangkat menjadi Nabi pada 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih."

Kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat mengenai tarikh peristiwa Israk dan Mikraj supaya peristiwa itu diketahui secara jelas dan pada masa sama, tiada ibadat khusus atau sambutan tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa bersempena tarikh berkenaan. Ada golongan yang lebih ekstrim beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Jika ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti bila sebenarnya ia berlaku seperti amalan sunnah lain iaitu puasa 'Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharam dan beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan. Ia memperlihatkan tidak ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Jika memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama melaksanakannya adalah Rasulullah SAW serta sahabat.
Tiada amalan khusus untuk Rejab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang dijumpai dalam hadis sahih. Jika ada pendapat yang meriwayatkan mengenai amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab, ia bersandar kepada hadis lemah. Banyak lagi amalan sunat yang umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadhan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.

Wallahu A'lam

PASTIKAN KESAHIHAN HADIS TENTANG KEISTIMEWAAN BULAN REJAB

Dalam masyarakat kita hari ini sering kali apabila masuk bulan Rejab,maka akan ada segelintir pihak menganjurkan agar melaksanakan suatu ibadat khusus seperti berpuasa,melakukan umrah dan sebagainya.Dalam hal ini adakah kita sedar dimanakah kita mendapat galakan untuk melaksanakannya?adakah dari sumber hadis Nabi S.A.W,Nas Al-Quran?Rasanya jawapan tersebut ada didalam benak fikiran kita masing-masing kerana dizaman kini ilmu hadis dan Al-Quran itu mudah diperolehi dimana sahaja sama ada dihadapan komputer,televisyen,radio dan sebagainya.Tetapi adakah kita pasti sejauh mana ilmu yang kita perolehi dengan mudah itu Sahih untuk kita ikuti dan amalkan?Adakah kita lupa tentang hadis-hadis palsu?Insya Allah disini saya cuba merungkai serba sedikit kekeliruan antara kita berkenaan dengan bulan Rejab.

Untuk makluman saudaraku yang dikasihi,tidak ada satu hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab,melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan yang haram (yang dimuliakan) yang disebut oleh Allah S.W.T. di dalam kitabnya: “Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan).” (al-Taubah:36) iaitulah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan al-Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.Tidak terdapat satu hadith yang sahih yang mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi S.A.W. banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban, apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, dinyatakan: “Kerana Sya’ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada diantara Rejab dan Ramadhan.” Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan.

Adapun tentang hadith: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-Ku dan Ramadhan bulan Umatku.” Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu… iaitu ianya suatu yang didustai (atas nama Nabi S.A.W.), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama. Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa sembahyang sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala… semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta.
Antara tanda kedustaan hadith-hadith seumpama ini, apabila ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan gembar-gembur… para ulama berkata:
“Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar atas perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras atas dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu.”

Sebagai contoh lain apa yang didakwa dari perkataan Nabi S.A.W.:
“Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik dari membina 1000 buah masjid.” Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan utk orang yang lapar, pahalanya lebih besar dari pahala yang diperolehi dari membina 1000 buah masjid.
Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk di dalam jenis seperti ini.Oleh itu para ulama wajib memberikan perhatian dari hadith-hadith seumapama ini yang palsu dan dusta dan memberi peringatan kepada orang ramai dari hadith-hadith seumapama ini. Nabi S.A.W. telah bersabda: (Maksudnya): “Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia lihat hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di Muwaddiman Sahihnya).

Akan tetapi kadang-kadang seseorang tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya itu adalah hadith yang palsu. Oleh kerana itu dia mesti mengetahui, dan mengenal pasti dari sumber-sumbernya… terdapat banyak kitab-kitab hadith yang dibuat rujukan, ada kitab-kitab yang khas yang menerangkan tentang hadith-hadith lemah dan palsu seperti al-Maqasid al-Hasanah” oleh al-Sakhawi, kitab Tamyiz al-Toyyib min al-Khabith lima haduru ala alsinah al-Nas minal hadith oleh Ibn al-Diba’, kitab Kasful khafa’ wa al-Ilbas fima isytahara min al-Ahadith ‘ala alsinati al-Nas oleh al-‘Ajluni… dan banyak lagi kitab-kitab lain yang sepatutnya diketahui oleh para khatib dan memahaminya, agar mereka tidak mengambil satu hadith melainkan hadith itu dipercayai kesahihannya.
Sesungguhnya termasuk dalam kemerbahayaan yang berlaku di dalam masyarakat kita ialah hadith-hadith yang palsu dan yang direka yang bercampuraduk di dalam khutbah, buku-buku dan percakapan manusia, hakikatnya ianya adalah hadith yang palsu dan yang direka.Oleh kerana itu kita perlu membersih dan menyucikan masyarakat kita daripada hadith-hadith seperti ini. Sesungguhnya Allah mentaufikkan para ulama yang menjelaskan kepada orang ramai perkara-perkara yang asas dari yang direka, yang tertolak dari yang diterima. Dan kita hendaklah mengambil manfaat dari usaha mereka dan mengikut ilmu yang telah mereka terangkan.Semoga dengan sedikit penerangan ini dapat menjadikan iktibar untuk kita bersama agar kita terselamat dari segala fitnah yang melanda umat kini!!!!

Wallahu A'lam