BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selamat Datang

Friday, June 18, 2010

PASTIKAN KESAHIHAN HADIS TENTANG KEISTIMEWAAN BULAN REJAB

Dalam masyarakat kita hari ini sering kali apabila masuk bulan Rejab,maka akan ada segelintir pihak menganjurkan agar melaksanakan suatu ibadat khusus seperti berpuasa,melakukan umrah dan sebagainya.Dalam hal ini adakah kita sedar dimanakah kita mendapat galakan untuk melaksanakannya?adakah dari sumber hadis Nabi S.A.W,Nas Al-Quran?Rasanya jawapan tersebut ada didalam benak fikiran kita masing-masing kerana dizaman kini ilmu hadis dan Al-Quran itu mudah diperolehi dimana sahaja sama ada dihadapan komputer,televisyen,radio dan sebagainya.Tetapi adakah kita pasti sejauh mana ilmu yang kita perolehi dengan mudah itu Sahih untuk kita ikuti dan amalkan?Adakah kita lupa tentang hadis-hadis palsu?Insya Allah disini saya cuba merungkai serba sedikit kekeliruan antara kita berkenaan dengan bulan Rejab.

Untuk makluman saudaraku yang dikasihi,tidak ada satu hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab,melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan yang haram (yang dimuliakan) yang disebut oleh Allah S.W.T. di dalam kitabnya: “Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan).” (al-Taubah:36) iaitulah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan al-Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.Tidak terdapat satu hadith yang sahih yang mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi S.A.W. banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban, apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, dinyatakan: “Kerana Sya’ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada diantara Rejab dan Ramadhan.” Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan.

Adapun tentang hadith: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-Ku dan Ramadhan bulan Umatku.” Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu… iaitu ianya suatu yang didustai (atas nama Nabi S.A.W.), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama. Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa sembahyang sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala… semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta.
Antara tanda kedustaan hadith-hadith seumpama ini, apabila ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan gembar-gembur… para ulama berkata:
“Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar atas perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras atas dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu.”

Sebagai contoh lain apa yang didakwa dari perkataan Nabi S.A.W.:
“Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik dari membina 1000 buah masjid.” Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan utk orang yang lapar, pahalanya lebih besar dari pahala yang diperolehi dari membina 1000 buah masjid.
Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk di dalam jenis seperti ini.Oleh itu para ulama wajib memberikan perhatian dari hadith-hadith seumapama ini yang palsu dan dusta dan memberi peringatan kepada orang ramai dari hadith-hadith seumapama ini. Nabi S.A.W. telah bersabda: (Maksudnya): “Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia lihat hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di Muwaddiman Sahihnya).

Akan tetapi kadang-kadang seseorang tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya itu adalah hadith yang palsu. Oleh kerana itu dia mesti mengetahui, dan mengenal pasti dari sumber-sumbernya… terdapat banyak kitab-kitab hadith yang dibuat rujukan, ada kitab-kitab yang khas yang menerangkan tentang hadith-hadith lemah dan palsu seperti al-Maqasid al-Hasanah” oleh al-Sakhawi, kitab Tamyiz al-Toyyib min al-Khabith lima haduru ala alsinah al-Nas minal hadith oleh Ibn al-Diba’, kitab Kasful khafa’ wa al-Ilbas fima isytahara min al-Ahadith ‘ala alsinati al-Nas oleh al-‘Ajluni… dan banyak lagi kitab-kitab lain yang sepatutnya diketahui oleh para khatib dan memahaminya, agar mereka tidak mengambil satu hadith melainkan hadith itu dipercayai kesahihannya.
Sesungguhnya termasuk dalam kemerbahayaan yang berlaku di dalam masyarakat kita ialah hadith-hadith yang palsu dan yang direka yang bercampuraduk di dalam khutbah, buku-buku dan percakapan manusia, hakikatnya ianya adalah hadith yang palsu dan yang direka.Oleh kerana itu kita perlu membersih dan menyucikan masyarakat kita daripada hadith-hadith seperti ini. Sesungguhnya Allah mentaufikkan para ulama yang menjelaskan kepada orang ramai perkara-perkara yang asas dari yang direka, yang tertolak dari yang diterima. Dan kita hendaklah mengambil manfaat dari usaha mereka dan mengikut ilmu yang telah mereka terangkan.Semoga dengan sedikit penerangan ini dapat menjadikan iktibar untuk kita bersama agar kita terselamat dari segala fitnah yang melanda umat kini!!!!

Wallahu A'lam

0 comments: