BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selamat Datang

Wednesday, November 25, 2009

PENJELASAN MENGENAI ISU BID' AH

Pada masa kini kebanyakan kita sering menimbulkan isu bida'ah sehinggakan ada golongan yang sanggup melabelkan saudara sesama islam itu KAFIR diatas sebab melakukan apa yang dianggap sebagai BID'AH.
Ada pula jemaah dimasjid-masjid dan surau-surau berpecah menjadi dua puak dan bermasam muka kerana berbeza pandangan..Inikah akhlak islam yang dituntut oleh NABI S.A.W??tepuk dada tanyalah iman masing-masing!!!!
Disini ana selaku hamba Allah yang serba dhaif&serba kekurangan cuba memberikan sedikit penjelasan tentang masalah isu BID'AH yang melanda ditengah masyarakat kita pada hari ini.Harap dapat manfaatkan bersama!!!


Pengertian Bid‘ah Menurut Imam Shafi’e Rahimahullahu Anhu:

Sumbangan besar Imam As-Syafi`î (r.a) dalam ilmu Usul al-Fiqh ialah pembahagian
beliau terhadap makna ‘perkara baharu’ (al-bid‘ah) dan ‘perkara baharu yang
diadakan’ (al-muh-dathat) iaitu samada ‘baik’ atau ‘buruk bergantung kepada samada
perkara itu selari dengan Syari‘at. Ini diriwayatkan secara Sahih dari dua muridnya
yang terkenal pada zaman akhir kehidupan beliau iaitu, pakar hadis Mesir, Harmala
ibn Yahyâ al-Tujaybî dan al-Rabî` ibn Sulaymân al-Murâdî:
Harmala menyebut, “Aku mendengar Imam As-Syafi’e(r.a) berkata:
“Bid‘ah itu dua jenis (al-bid‘atu bid`atân)”
“Bid‘ah yang dipuji (bid‘ah mahmûdah) dan bid‘ah yang dikeji (bid‘ah mazmûmah).
Apa yang selari dengan Sunnah itu dipuji (mahmûdah) dan apa yang bertentangan
itu dikeji
(mazmûmah).”
Beliau menggunakan dalil dari kenyataan Saidina ‘Umar ibn al-Khattab (r.a) kepada
jemaah yang mengerjakan Sembahyang Tarawih di bulan Ramadhân dengan katanya:
“Alangkah cantiknya bid‘ah ini!”
Al-Rabî` juga meriwayatkan kenyataan yang sama bahawa Imam As-Syafi`î berkata
kepada kami:
‘Perkara baharu yang diada-adakan itu dua jenis (al-muh-dathâtu min al-umûri
dharbân):

Pertama, perkara baharu yang bercanggah dengan al-Qur’ān atau Sunnah atau
atsar Sahabat atau ijmâ’ para ulamā’, maka bid‘ah itu adalah sesat (fahâzihi albid‘
atu dhalâlah).


Kedua, ialah perkara baharu yang diadakan dari segala kebaikan (mâ -uhditha
min al-khayr)
yang tidak bertentangan dengan mana-mana pun di atas, dan ini
bukan bid‘ah yang dikeji (wahâzihi muh-dathatun ghayru madhmûmah).
`Umar (r.a) berkata terhadap sembahyang Terawih berjemaah di bulan Ramadhan:
“Alangkah cantiknya bid‘ah ini!” bermaksud bahawa ‘perkara baharu’ yang diadadakan
yang belum ada sebelum ini, tetapi ianya tidak bercanggah dengan perkara di
atas (Al-Qur’ān, Sunnah, atsār Sahabat dan Ijmā’).'
Oleh itu, Imam As-Syâfie telah meletakkan suatu kriteria asas, yang perlu digunakan
dalam menjatuhkan hukum terhadap sesuatu ‘perkara baharu’.
Sehubungan dengan itu Imâm al-Haytamî, Qâdî Abû Bakr Ibn al-`Arabî, dan Imâm
al-Laknawî seterusnya menyambung:
“Bid‘ah dari segi Syari‘atnya ialah apa jua perkara baharu yang diadakan yang
bertentangan dengan hukum yang diturunkan Allah, samada berdasarkan dalil-dalil yang
nyata atau pun dalil-dalil umum”
“Hanya Bid‘ah yang menyalahi Sunnah sahaja yang dikeji”
“Bid‘ah ialah semua perkara yang tidak wujud dalam tiga kurun pertama Islam dan di mana
ianya tidak mempunyai asas bersumberkan empat sumber hukum Islam”

Kesimpulannya, ianya tidak memadai bagi sesuatu perkara itu dikira ‘bid‘ah’ [dan
sesat] hanya semata-mata kerana ianya ‘perkara baharu’.


Al-Baihaqî mengulas kenyataan al-Rabi' :
Begitu juga dalam hal perdebatan aqidah (kalâm) dengan pereka bid‘ah, apabila
mereka ini mula mendedahkan perbuatan bid‘ah (dalam aqidah) mereka
kepada masyarakat awam. Walaupun kaedah kalām merupakan ‘perkara baharu’
namun ianya dipuji (mahmudah) kerana ianya bertujuan untuk mendedahkan
kepalsuan pereka bid‘ah itu, seperti mana yang kita sebutkan sebelum ini. Rasulullah
dan begitu juga para Sahabat ditanya soalan berhubung dengan Qada’ dan
Qadar, yang jawapannya sepertimana telah sampai kepada kita hari ini. Namun pada
masa itu, para Sahabat sudah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh
Rasulullah . Namun sebaliknya di zaman kita ini pereka bid‘ah tidak lagi berpuas
hati dengan jawapan yang sampai kepada kita (daripada Rasulullah dan para
Sahabat), dan mereka tidak lagi menerimanya. Oleh itu bagi menangkis serangan
mereka, yang mereka sebarkan kepada umum, perlu bagi kita berhujah
menggunakan kaedah pembuktian yang diterimapakai oleh mereka sendiri. Dan
sesungguhnya kejayaan itu datangnya dari Allâh jua
.
Ini merupakan pembelaan Imâm al-Baihaqî secara terang-terang terhadap keperluan
kalâm dan sifatnya yang selari dengan tuntutan Sunnah demi mempertahankan
[Islam] dari pereka bid‘ah. Pendirian yang hampir sama juga boleh dilihat di
kalangan para Imam besar seperti Ibn `Asâkir, Ibn al-Salâh, al-Nawawî, Ibn al-Subkî,Ibn Abidin dan lain-lain.


PENGERTIAN BIDA'AH MENURUT IMAM AL-GHAZALI RAHIMAHULLAHU ANHU
Hujjatul Islâm Imam al-Ghazâlî ketika mengulas perbahasan berhubung dengan
penambahan ‘titik’ pada huruf ayat-ayat al-Qur’ān dengan katanya:


"Hakikat bahawa ianya perkara baharu yang diadakan (muh-dath) tidak menghalang ini semua.Berapa banyak perkara baharu yang diadakan tetapi ianya baik!!,seperti sembahyang Tarawih secara berjamaah.Ianya adalah antara bid'ah Saidina Umar (r.a)tetapi ianya adalah bid'ah yang baik(bid'ah hasanah).Bid'ah yang keji ialah yang bertentangan dengan Sunnah Rasulullah atau yang membawa kepada perubahan Sunnah itu sendiri."

PENGERTIAN BID'AH MENURUT QADI ABU BAKR ABN AL-ARABI AL-MALIKI
Qâdî Abû Bakr Ibn al-`Arabî ketika mengulas berhubung dengan bid‘ah berkata:

Ketahuilah! – Moga Allah menganugerahkan kamu ilmu! –bahawa bid‘ah itu ada
dua jenis (al-muh-dathâtu dharbân):


(i) Perkara baharu yang diadakan yang tiada asas [agama] melainkan mengikut
hawa nafsu sesuka hati. Ini ada jenis yang salah,
(ii) Perkara baharu yang diadakan selari dengan apa yang sudah disepakati. Seperti sunnah para khulafa' dan para Imam-imam besar.
Perkara baharu yang diadakan dan bid'ah bukanlah keji kerana ianya "baharu"(muhdath)"yakni atau semata-mata dipanggil bid'ah,dan tidak juga kerana maknanya!Allah berfirman;

“Tidak datang kepada mereka peringatan yang baharu (muhdath) dari Tuhan
mereka” (Surah Al-Anbiya';ayat 2)

dan Saidina `Umar (ra) berkata: “Alangkah cantiknya bid‘ah ini!” Sebaliknya, bid‘ah yang bertentangan dengan sunnah itu yang dikeji atau perkara baharu yang diadakanyang membawa kepada kesesatan itu yang dicela."

PENGERTIAN BID'AH MENURUT IBN HAZM AL-ZAHIRI
Ibn Hazm al-Zâhirî berkata;

Bid‘ah dalam ad-Din ialah apa jua yang datang kepada kita yang tiada disebutkan didalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah,melainkan seseorang itu diberi ganjaran pada sebahagiannya,dan mereka yang melakukannya dimaafkan jika mereka berniat baik.
Di antaranya adalah yang diberi ganjaran dan dikira baik (hasan), apa yang
pada asalnya diharuskan (“mâ kâna as-luhu al-ibâha”) sepertimana yang
diriwayatkan oleh Saidina`Umar (ra): “Alangkah baiknya bid‘ah ini!”
Ia jelas merujuk kepada semua amalan kebaikan yang dinyatakan oleh nass(al-
Qur’ān dan Hadith) secara umum akan galakan melakukannya, walaupun amalan berkenaan itu tidak disebutkan dalam nass secara khusus.Di antaranya juga ada yang dikeji dan tidak dibolehkan apabila dalil-dalil melarangnya.

BID'AH MENURUT PANDANGAN IBNU QAYYIM AL-JAWZI
Ibn Qayyim al-Jawzî menyatakan perkara yang sama dalam kitabnya Talbîs Iblîs:


“Ada sesetengah perkara baharu (muh}dathât) diamalkan yang tidak berlawanan
dengan Shari‘at atau menyalahinya, mereka [para Salaf] melihat ianya tidak mengapa untuk diamalkan,seperti tindakan Saidina Umar r.a mengumpulkan orang bagi mendirikan sembahyang Tarawih dibulan Ramadhan,kemudian beliau berkata;"Alangkah baiknya bid'ah ini"

BID'AH MENURUT PANDANGAN IBN AL-ATHIR ALJAZARI
Pakar perkamusan Ibn al-Athîr menyebut di dalam kitabnya, al-Nihâyah fîGharîb
al-Hâdîs wal-Atsar menyebut:


Bid‘ah itu ada dua jenis: bid‘ah yang berpetunjuk (bid‘atu hudâ) dan bid‘ah yang
sesat (bid`atu dholâlah).


Apa jua yang menyalahi perintah Allâh dan RasulNya : itu termasuk dalam perkara yang dikutuk dan dipersalahkan.Dan apa jua yang masuk dalam keumuman Allah atau RasulNYA perintahkan atau galakkan;maka itu termasuk dalam hal ehwal yang dipuji.
Apa jua yang tiada amalan sebelum ini seperti terlampau pemurah atau
berbuat baik – seumpama itu termasuk dalam perlakuan dipuji. Tidak dibenarkan beranggapan perkara seumpama itu sebagai menyalahi Syariat kerana Rasulullah telah menyebutkan bahawa amalan sedemikian itu diberi ganjaran
;"Sesiapa yang memulakan sesuatu amalan kebaikan dalam islam ia akan perolehi ganjarannya dan ganjaran sekalian orang yang melakukannya."
Begitu juga sebaliknya Baginda bersabda
;" Sesiapa yang memulakan amalan jahat dalam islam ia akan tanggung dosanya dan dosa sekalian mereka yang melakukannya."
Begitulah apabila perlakuan itu bertentangan dengan apa yang diperintahkan Allâh dan RasulNYA.Dengan maksud inilah hadîs yang menyebut
“setiap yang
baharu itu sesat”
sepatutnya difahami: maksud Baginda ialah, apa jua yang
bercanggah dengan asas-asas Syariat dan menyalahi Sunnah.

BID'AH MENURUT IMAM AL-IZZ IBN ABDUL SALAM
Sheikhul Islâm, Sultân al-`Ulâmâ' Imâm al-`Izz Ibn `Abd al-Salâm juga berkata
berhubung dengan perkara yang sama:


Di sana ada beberapa jenis perkara baharu (bid‘ah). Pertama, ialah yang apa yang
tidak dilakukan di awal kedatangan Islam namun Shari‘at nyatakannya sebagai
terpuji atau wajib. Yang kedua lagi ialah yang tidak dilaksanakan di awal Islam
namun Shari‘at mengharamkannya dan dibenci. Yang ketiga ialah perkara yang tidak dilakukan diawal islam dan syariat mengharuskan.
Di tempat lain beliau menyebut bahawa Bid‘ah itu ada lima jenis, sama sepertimana yang diputuskan para fuqaha' dalam amalan perbuatan seorang,iaitu Wajib,Haram,Sunat(Mandub),Makruh,dan Harus
(Mubah).


SOKONGAN IMAM NAWAWI TERHADAP PANDANGAN IMAM AL-IZZ
Sheikhul-Islâm, Imâm al-Nawawî menyebut:


Bid‘ah mengikut Syariat ialah mengada-adakan sesuatu yang tidak pernah wujud dizaman Rasulullah dan ianya dibahagikan kepada “baik” dan buruk”(wahyamunqasimatun ilâ hasanah wa qabîhah).


Sheikh, dan Imâm keseluruhan ilmu-ilmu Islam yang pelbagai yang disepakati
kehebatannya iaitu, Abû Muhammad `Abdul-`Azîz ibn `Abdul Salâm – Moga-moga Allah Merahmatinya – menyebut di akhir buku beliau, al-Qawâ`id al-Kubrâ:
“Bid‘ah itu terbahagi kepada perkara-perkara wajib (wâjibat), Haram
(muharramat), Sunat (mandûbat), Makruh (makrûhat), dan Harus (mubâhat).
Jalan untuk menilai sesuatu Bid‘ah itu ialah dengan melihat berpandukan kaedah Syariat(qawa'id al-syar'iah).Jika ianya jatuh dalam kategori kewajiban (îjâb) maka jadilah ia Wajib.jika ia termasuk dalam keharaman maka jadilah ia Haram,jika digalakkan maka jadilah ia Sunat, dikeji maka jadilah ia Makruh dan seterusnya yang selainnya ialah Harus.


SOKONGAN IBN HAJAR TERHADAP PANDANGAN IMAM AL-IZZ

Al-Hâfiz Ibn Hajar berkata:
Asal kata perkataan ‘bid‘ah’ itu ialah sesuatu yang direka tanpa ada duluannya
sebelum ini. Ianya digunakan dalam Syariat sebagai lawan kepada Sunnah, dan oleh itu dikeji. Jika diteliti, sekiranya ianya termasuk dalam apa yang digalakkan oleh Syariat, maka ia termasuk dalam bid‘ah baik (bid‘ah hasanah), dan jika ia termasuk dalam perkara yang dikeji maka ianya adalah bid‘ah buruk(mustaqbahah). Selain daripada itu ianya diharuskan (mubâh)...


ITTIFAQ(KESEPAKATAN) ‘ULAMA'’ BERHUBUNG PANDANGAN IMAM AL-IZZ
Para ulama’ dalam empat Mazhab bersetuju dengan klasifikasi lima hukum bagi
Bid‘ah yang dibuat oleh Imam al-Izz sepertimana yang telah disebutkan di atas,
dengan turut dipersetujui oleh majoriti besar para ‘ulama’ terkemudian setiap
Mazhab seperti berikut:


(1) Di kalangan ‘ulama Mazhab Hanafî; al-Kirmânî, Ibn `âbidîn, al-Turkmânî,al-
`Aynî, dan al-Tahânawî.


(2) Di kalangan ‘ulama Mazhab Mâlikî: al-Turtûshî, Ibn al-Hâjj, al-Qarâfî, dan al-
Zurqânî, kecuali al-Shâtibî yang cuba menafikannya dengan mendakwa pandangan Imam al-Izz itu sebagai “bid‘ah tanpa ada dalil dalam Syari at”!


(3) Sepakat (ijma’) di kalangan sekalian ulama’ Mazhab Syafie.


(4) Keenganan menerimanya di kalangan ulama Mazhab Hanbalî yang terkemudian,dengan mengubah istilah Imam al-Syâfie dan Imam al-Izz ibn `Abdul-Salâm dengan masing-masing membawa maksud “bid‘ah dari segi bahasa” (bid‘ahlughawiyya) dan “bid ‘ah dari segi syarak” (bid‘ah shar`iyyah). Walaupun ini tidak tepat, mereka cuba memadankan apa yang Imam al-Syâfie sebutkan sebagai “dibenarkan” dan “dikeji”.Inilah pendekatan yang sering dibawa olehgolongan Wahabi dengan memecah-mecahkan sesuatu isu sepertimana berlaku dalam isu bid‘ah ini, walaupun sepatutnya pendekatan sebenar ialah berpandukan klasifikasi yang telah dibuat oleh majoriti ulama’ (jumhûr).


SHEIKH MUHAMMAD BAKHIT AL-MUT'I MERUMUSKAN:
“Bid ‘ah dari segi Syarak ialah yang sesat dan dicela; adapun bid‘ah yang para
‘ulama membahagikan kepada kepada Wajib dan Haram dan seterusnya itu,
adalah Bid’ah dari segi bahasa, yang lebih luas dari Bid’ah dari Syarak kerana
Syarak itu juga sebahagian darinya.”


Al-Shaukânî merumuskan di dalam Nayl al-Awtâr iaitu asas kepada pembahagian bid‘ah adalah “baik” dan “buruk”, dan inilah pandangan yang paling kukuh dan kuat sekali.


Memadailah apabila majoriti Imam Mujtahid dari kalangan Salaf menyatakan
sedemikian berdasarkan dalil-dalil al-Qur'ân and Sunnah, walau apapun yang
dikatakan oleh ulama’ terkemudian – samada oleh ‘ulama bakal murajjih’ seperti al-Shawkânî atau ‘ulama bakal penyunting’ seperti al-Shâtibî. Kerana pendirian ini telah disepakati (ijma’) di kalangan para ulama’ Mazhab al-Syâfie dan juga selari dengan pesanan Rasulullah agar kita mengikuti jalan para Mu’min dan mengikut pendapat [ulama’] ramai.

KESIMPULANNYA!!!


Jelas sekali berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas membuktikan bahawa para ulama’ di kalangan empat Mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah, secara majoritinya,(manakala ijma’ di kalangan ulama Mazhab Syafi’e) telah menerima pembahagian bahawa di sana ada dua bentuk bid‘ah, iaitu yang ‘baik’(hasanah) dan yang ‘buruk’ (sayyi’ah/dholalah). Ini sekaligus menolak pandangan ganjil dan keseorangan (shadhdh) Imam al-Shatibi dalam I’tisomnya, yang menentang pembahagian bid’ah sedemikian, dan juga pandangan mereka yang bersamanya yang mendakwa semua ‘perkara baharu’ itu bid‘ah sesat (bid‘ah dholalah/sayyi‘ah) belaka.
• Adapun mereka yang mengemukakan hujah-hujah para Imam Mazhab dan imam-imam besar lain yang kononnya menolak dan menentang amalan yang dikatakan“bid‘ah”, penolakan para Imam itu sebenarnya adalah terhadap bid‘ah dholalah, iaitu bid‘ah yang bertentangan dengan Syariat, kerana para imam-imam ini dalam masa yang sama di tempat yang lain jelas sekali mengakui dan menerima wujudnya dua kategori bid‘ah: baik dan buruk.
• Dakwaan bahawa kalimah “bid‘ah” yang diungkapkan oleh Saidina Umar r.a. hanya bermaksud ‘bid‘ah dari segi bahasa’, dan justeru itu sekalian para ulama telah tersilap faham merupakan suatu tanggapan memperlekehkan keilmuan dan kepakaran bahasa para ulama’ besar seperti Imam Syafie, Imam al-Ghazali, Imam al-Izz dan lain-lain,
seolah-olah mereka ini jahil tidak tahu membezakan antara ‘bid ‘ah dari segi bahasa’ dan ‘bid‘ah dari segi syarak’. Imam Mazhab, Mujtahid Mutlaq, Hujjatul Islam,
Sheikhul Islam dan Sultan al-‘Ulama’ adalah antara gelaran-gelaran yang diberikan terhadap para ulama ini sudah cukup menggambarkan kehebatan keilmuan dan kewibawaan mereka.
• Perlu kita akui bahawa para ulama’ silam teramat mengerti dan arif apa yang
dimaksudkan oleh Saidina Umar r.a. dengan ungkapan kalimah “bid‘ah” itu . Mereka juga tahu dan amat mengerti bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri pernah melakukan Solat Terawih secara berjemaah untuk dua malam pertama di bulan Ramadhan sepertimana Hadith Aisyah r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Namun mereka tetap menggunakan hujah perlakuan Saidina Umar itu untuk mengatakan bahawa di sana ada bid‘ah hasanah dan bid‘ah d}alalah. Adalah sesuatu yang ganjil tiba-tiba ada ‘ulama mutaakhir termasuk ulama’ kurun ke-20 ini mula mempertikaikan dan menolak hujah para ulama besar seperti Imam Syafie, Imam Ghazali dan lain-lain yang telah menggunakan kata-kata Saidina Umar itu tadi sebagai dalil mereka.
• Setiap amalan dalam masyarakat kita perlu dinilai dan diteliti dengan cermat
berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada ketikanya amalan mereka itu merupakan bid‘ah hasanah, ada juga ketikanya bid‘ah dholalah dan khurafat yang mesti ditentang, dan ada juga ianya merupakan persoalan khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ‘ulama’). Adalah terlalu cetek pemikiran melabelkan semua perlakuan yang tiada nass} khusus mengenainya, di dalam satu bakul yang sama sebagai bid ‘ah dholalah atau sayyi'ah.

Inilah serba sedikit rumusan untuk tatapan saudara yang musykil tentang masalah bid'ah yang ada ditengah masyarakat kini.Segala kekurangan harap dimaafi kerana fitrah selaku insan tidak mampu lari dari sebarang kesilapan. MOGA ALLAH BERIKAN SAYA& SAUDARA PETUNJUK UNTUK SENTIASA MELAKUKAN APA-APA YANG DIREDHAI NYA

0 comments: